20 April 2012

Idea Permainan Pintar Untuk Si Manja

intai buget  


Bermain adalah salah satu kaedah untuk merangsang perkembangan intelektual si manja anda. Jadi, selain memastikan si manja anda mendapat khasiat pemakanan lengkap, tidur yang mencukupi dan menjaga kebersihan diri serta sekelilingnya, permainan atau waktu bermain si manja juga tidak harus dipandang remeh. Panduan berikut mungkin boleh membantu para ibu bapa memilih permainan yang paling tepat untuk merangsang minda si manjanya.

1. Bayi di bawah usia 3 bulan sebenarnya sudah mula meneroka mindanya melalui aktiviti bermain. Walaupun kelihatan masih lemah namun aktiviti si manja ini bukan sekadar minum susu dan menangis sahaja. Renungan matanya, pergerakan genggaman tangan yang spontan serta sentuhan mama, papa dan ahli keluarganya yang lain adalah aktiviti awal si manja dalam usaha menerokai dunia barunya itu.

2. Bayi yang berusia 3 bulan ke atas memiliki aktiviti yang lebih khusus. Perasaan ingin tahunya lebih tertumpu pada tarikan bunyi dan visual yang ada di sekelilingnya. Dalam usia sebegini, bayi lebih gemar bermain dengan tangannya sendiri, mengenali wajah orang terdekat dan mengamati permainan. Selain itu, dalam usia seawal ini juga ‘teether’ atau ‘activity gims’ boleh diperkenalkan kepada si manja anda. Seiring dengan bertambahnya usia si manja anda, aktivitinya juga semakin bertambah. Sesi memandikannya juga boleh menjadi salah satu aktiviti yang menyeronokkan baginya seperti menepuk-nepuk permukaan air atau meletakkan permainan di dalam besen mandinya.

3. Bayi yang berusia 6 bulan ke atas selalunya sudah boleh duduk sendiri, boleh merangkak, memegang benda-benda kecil dengan menggunakan ibu jari dan telunjuknya serta mengajaknya bermain ‘peek-aboo’ (baa-caak). Patung yang lembut, buku yang diperbuat daripada bahan yang lembut seperti fabrik (first book) sesuai diberikan kepada si manja di usia ini.

4. Manakala bayi yang bersia 10 bulan ke atas pula akan mula belajar berdiri dan cuba untuk berjalan. Dalam usia ini beberapa peralatan yang ada di rumah boleh dijadikan sebagai permainan untuk si manja. Contohnya; mangkuk, cawan, sudu plastik dan pelbagai lagi barangan yang dikategorikan sebagai selamat untuk bayi anda. Malah normal juga sekiranya anak anda cepat bosan dengan barangan permainan yang dimainkannya. Sebagai ibu bapa, anda perlulah lebih kreatif ketika mengajak si manja anda bermain.

5. Apa yang harus ibu bapa ambil berat dalam pemilihan permainan untuk si manja adalah faktor kesesuaiannya. Permainan yang diberikan perlulah sesuai dengan usianya kerana permainan yang terlalu mudah dimainkannya akan membuatkan si manja lebih cepat bosan. Tetapi jangan pula anda memilih permainan yang terlalu sukar baginya. Kerana permainan yang sukar dan tidak sesuai dengan usianya itu akan menyebabkan si manja rasa kecewa.

6. Selain itu kesesuaian juga berkait rapat dengan keselamatan. Sila semak label permainan sebelum membelinya. Telitilah sebelum membeli, itu adalah kaedah pembelian yang sangat tepat. Tambahan pula, hari ini terdapat lambakan permainan buatan luar negara di pasaran tempatan dengan tawaran harga yang agak murah. Segelintir daripadanya tidak sesuai untuk diberikan kepada si manja anda. Jadi para ibu bapa perlu memastikan label yang terdapat pada bungkusan permainan itu selari dengan kualiti ‘isi’ yang ada di dalamnya.

1. Buku pertama si manja Tiny Love - RM89.90
Boleh digunakan seawal bayi anda dilahirkan. Buku ini menggalakkan rangsangan visual si manja. Paduan warna cerah merah, hitam dan putih memang sangat membantu dalam merangsang penglihatannya. Lebih istimewa lagi, produk ini tampil dalam rekaan 3D yang membolehkan si manja merasai kepelbagaian material yang ada pada buku yang diperbuat daripada fabrik ini. Mempunyai dua bahagian; hadapan dan belakang.

Bahagian 1 - Hitam & Putih – Ilustrasi kontra yang sangat merangsang deria si manja.

Bahagian 2 - Aktiviti permainan yang berwarna-warni ini membantu perkembangan imaginasi bayi anda dan meningkatkan skil motornya.

2. Wonderland Peek-a-boo-ball - RM38.90
Bola peek-a-boo ini membantu merangsang bayi untuk memerhatikan pergerakan objek sekali gus menajamkan lagi perkembangan visualnya. Keluar dan sorokkan kembali patung-patung yang ada pada bola tersebut sambil berkata “baa... caak,” dengan cara ini ia boleh menarik perhatian si manja untuk memerhatikan objek berwarna-warni yang ada pada bola yang diperbuat daripada material kayu bermutu tinggi ini. Sesuai dimainkan kepada bayi yang berusia dari 0 hingga 3 bulan.

3. K’s Kids Bath Toy Set - RM29.90
Set permainan sewaktu mandi ini memang cukup menarik. Ia boleh melatih anak anda agar tidak fobia bila berada di dalam besen mandi yang dipenuhi air. Selain warnanya yang terang, ia diperbuat daripada bahan lembut yang boleh ditekan oleh bayi anda, memancutkan air serta terapung di atas air. Permainan ini boleh merangsang kanak-kanak dengan menajamkan lagi deria penglihatannya, memperkuatkan lagi kemampuannya menggenggam dan memegang sesuatu objek.

** sekadar berkongsi...  love

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Halaman